Search

7 Menu Makan Besar dan Simboliknya Di Tahun Baru Cina



Adat makan besar atau reunion dinner sering dikaitan dengan Tahun Baru Cina. Apakah kepentingan adat makan besar ini dan bagaimana pula dengan menu-menu istimewa lain yang dihidangkan semasa Tahun Baru?


Dipercayai adat makan besar menjelang Tahun Baru telah diamalkan sejak dahulu lagi. Ia adalah aktiviti yang paling penting berbanding aktiviti lain dan merupakan kemuncak kepada perayaan Tahun Baru. Seperti mana Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau Krismas; ketika Tahun Baru Cina, mereka yang menyambutnya juga akan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing untuk berkumpul seisi keluarga bagi meraikannya sambil menikmati makanan tradisional dan autentik yang khusus dihidangkan semasa hari perayaan tersebut.


Adat wajib ini juga memberi simbol permulaan yang baik untuk tahun yang mendatang, selain memeberi peluang kepada seluruh keluarga merapatkan hubungan dan saling bertanya khabar. Kaum Cina terkenal dengan simbolik makna makanan yang dikaitkan dengan perkara-perkara yang baik dalam hidup mereka. Setiap makanan yang dihidangkan sewaktu hari-hari perayaan memberi maksud tersendiri. Ia berdasarkan sebutan, karakter Cina dalam perkataan tersebut serta rupa makanan itu sendiri. Lazimnya makanan yang dipilih merupakan simbolik kepada kakayaan, tuah, kemewahan, kejayaan dan umur yang panjang.


Sewaktu makan besar seisi keluarga akan duduk bersama mengelilingi meja, sambil makan dan berbual. Bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan, inilah masa mereka mengeratkan hubungan kekeluargaan. Mereka juga akan turut berdoa kepada Tuhan supaya dikurniakan kesihatan yang baik, kekayaan yang melimpah ruah dan kejayaan yang lebih besar pada tahun tersebut selain bertukar-tukar hadiah antara ahli keluarga. Bagi ahli keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung, mereka lazimnya akan makan di restoran yang menawarkan pakej makan besar dan memesan setiap makanan yang dihidangkan mewakili simbol dan harapan mereka untuk Tahun Baru berkenaan.


Kaum Cina percaya bahawa dengan menghidangkan makanan-makanan yang membawa maksud yang baik dan positif akan memberi hidup yang baik juga untuk tahun tersebut. Selain itu, cara penyediaan, cara makanan tersebut dihidangkan dan cara untuk memakan hidangan tersebut juga diambil kira dan memberi makna tersendiri. Menu tradisi yang sering dihidangkan semasa Tahun Baru Cina adalah berasaskan ikan, buah-buahan dan sayuran. Turut disajikan adalah snek dan pemanis mulut. Antara makanan utaman yag dihidangkan semasa makan besar adalah ikan, ladu(dumpling), popia, tangyuan (bebola nasi manis), buah limau atau oren, niangao (kek beras pulut) dan mi panjang umur.



1. IKAN


Dipercayai Kaum Cina sering memilih ikan sebagai menu semasa makan besar kerana sebutannya dalam bahasa Cina iaitu yú membawa maksud tuah, kelimpahan dan keuntungan pada tahun yang mendatang. Kadangkala ayam dan itik juga dihidangkan sebagai menu tambahan. Salah satu menu ikan yang popular adalah ikan kukus. Ikan yang dipilih akan dimasak bersama beberapa bahan penting seperti bawang merah dan saderi diiringi daun salad, yang mana setiap bahan yang digunakan juga membawa maksud tertentu.


Ikan kukus memberi makna tuah yang melimpah-ruah. Bawang merah dan saderi membawa maksud kebijaksanaan, dan daun salad adalah simbolik kepada kesuburan. Ikan juga dikatakan membawa maksud lebihan yang masih ada di hujung tahun. Mereka percaya jika ada lebihan begini, pada tahun berikutnya lebihan itu boleh digandakan dan menjadi lebih banyak. Antara jenis ikan yang sering dipilih dalam hidangan adalah "crucian carp" dan "chinese mud crap" yang membawa maksud nasib yang baik untuk tahun hadapan. Manakala ikan haruan pula menjadi simbol kepada lebihan yang ada pada tahun itu. Cara untuk menikmati hidangan ikan juga penting dan dititikberatkan. Dengan meniggalkan sebahagian ikan untuk Tahun Baru keesokkan harinya, mereka percaya di hujung tahun mereka dilimpahi kekayaan yang berlebihan.


Amalan ini dipercayai banyak dilakukan di utara Sungai Yangtze, manakala di kawasan-kawasn lain, mereka mengamalkan meninggalkan kepala dan ekor ikan untuk dimakan setelah Tahun Baru tiba. Selain cara makan dan penyediaan ikan, cara untuk menghidangkan ikan tersebut di atas meja juga diambil kira. Kepala ikan harus ditujukan ke arah tetamu yang penting atau yang paling tua sebagai tanda hormat. Orang lain hanya dibenarkan memakan ikan tersebut hanya selepas mereka yang ditujukan kepala ikan itu menikmatinya dahulu. Dipercayai ikan tersebut juga tidak boleh dialihkan. Kaedah memasak ikan yang sering digunakan adalah mengukus atau merebus bersama sayuran dan herba.



2. LADU

Ladu (dumpling) ialah menu klasik Cina yang berbentuk bot dan bujur yang sering disajikan semasa Tahun Baru, membawa makna kakayaan. Menurut lagenda, jika seseorang itu makan ladu dengan banyak semasa Tahun Baru, makan akan banyaklah juga wang yang diperoleh pada Tahun Baru tersebut. Ladu mengandungi inti seperti daging cincang dan sayuran yang dihiris halus dan dibalut dengan doh nipis elastik lalu digireng, dibakar atau direbus. Inti lain seperti udang yang dicincang, ikan, isi ayam atau daging juga turut digunakan.



3. POPIA


Popia juga antara menu yang sering disediakan. Membawa maksud kekayaan, popia sebenarnya adalah hidangan dim sum Kantonis yang berbentuk silinder berintikan sayur, daging atau bahan-bahan yang manis, yang dibalut dengan doh nipis lalu digoreng hingga keemasan. Popia merupakan menu yang popular di Timur China.



4. KEK BERAS PULUT


Menu lain yang turut disajikan adalah kek beras pulut (niangao). Menurut kepercayaan kaum Cina, niangao memberi maksud "semakin tinggi setiap tahun". Tinggi boleh memberi makna kepada peningkatan keuntungan dalam bisnes atau kualiti hidup yang semakin baik. Antara bahan utama yang digunakan dalam kek beras pulut adalah beras pulut, gula, sengkuang Cina, kurma Cina dan daun teratai.



5. BEBOLA PULUT MANIS


Seterusnya menu popular lain adalah bebola pulut manis (tangyuan), yang membawa maksud kesatuan keluarga. Bentuk tangyuan yang bulat memberi simbolik keluarga yang berkumpul dan bersatu.



6. MI PANJANG UMUR


Mi panjang umur (longevity noodle) pula dhidangkan bagi melambangkan kebahagian dan umur yang panjang. Kepanjangan mi dan cara penyediaannya dipercayai adlah simbolik kepada si pemakan. Mi ini lebih panjang daripada mi yang biasa dan dibiarkan tidak dipotong. Kaedah yang digunakan untuk memasak mi ini termasuklah digoreng atau direbus lalu dimakan bersama sup.



7. BUAH-BUAHAN


Buah-buahan juga tidak ketinggalan dihidangkan semasa makan besar atau sepanjang Tahun Baru. Buah yang sering dihidangkan adalah limau, oren dan limau bali kerana bentuknya yang bulat serta warnanya yang 'keemasan' memberi makna kekayaan dan 'penuh'. Dengan memakan banyak buah-buahan ini juga dikatakan dapat menjemput lebih banyak tuah dan kejayaan. Snek turut dihidangkan semasa perayaan ini. Antara makanan yang menjadi pilihan adalah kurma merah, kacang tanah yang direbus lalu digoreng, buah longan kering yang dihiris dan dibuat teh, biji bunga matahari, biji tembikai atau biji labu, gula-gula dan kek kukus. Juadah pemanis mulut yang menjadi pilihan pula antaranya kek span kukus, kuih bebola bijan, doh pintal yang digoreng dan biskut walnut.

50 views
The Richworld Travel & Tours Sdn Bhd (1040443-P)(KPK/LN 7567)
Opening hours
Monday - Friday : 0900 hrs - 1800 hrs 
Saturday / Sunday/ Public Holiday - Closed​
Head Quartes

Suite 16.05, 16th Floor, Wisma Zelan, 
No.1, Jalan Tasik Permaisuri 2, 
Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur.

Tel : +603-9174 7003 
Fax: +603-9174 7005 
Phone No: +6011 2004 8989
Visitor's Analytics

Our Terms & Conditions​

      ©2018 By Richworld Travel & Tours Sdn Bhd  Website All Rights Reserved.