Search

8 Lokasi dalam 'Bucket list' Pengunjung Terengganu



SUNGAI BANGANG, DUNGUN


Sungai Bangang masih lagi terletak dalam kawasan Hutan Lipur Cemerong. Menurut Kosmo, jalan untuk sampai ke sini adalah melalui laluan jalan pintas menuju ke Kem Balak. Di laluan ini, tidak lagi melalui puncak Gunung Berembun, Taman Bonsai, Berembun Kecil dan Kem Y. Sejam berjalan, mungkin sudah mula menuruni lembah dan mula menyeberangi sebatang sungai yang dinamakan Sungai Bangang.




TAMAN TAMADUN ISLAM, KUALA TERENGGANU


Satu-satunya taman tema bercirikan Islam yang pertama seumpamanya di dunia. Kawasan seluas 10 hektar ini menempatkan 22 replika monumen dengan seni bina Islam dari 21 negara antaranya Masjid Nabawi, Arab Saudi, Kubah As Sakhra, Palestin, dan banyak lagi. Berkonsepkan Edutainment Park, ia secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai sejarah pembinaan monumen-monumen ini melalui tayangan video, gambar dan kuiz interaktif.




SANTUARI KELAH SUNGAI PETANG, TASIK KENYIR, HULU TERENGGANU


Bagaimana rasanya jika dikerumuni ribuan ikan? Panik? Teruja? Alaminya sendiri di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir. Sebaik sahaja berada dalam sungai, ribuan ikan kelah bagaikan menanti kedatangan anda dan terus mengerumuni anda. Memang gerun awalnya melihat sekumpulan ikan yang banyak datang menyerbu namun perasaan itu akan bertukar menjadi seronok apabila anda boleh memegang ikan-ikan yang jinak ini sambil memberi makan.




GUNUNG TEBU, JERTEH


Jadi tumpuan pendaki tempatan dan luar negara kerana keunikan bentuk muka buminya yang sangat mencabar dengan ketinggian 1,039 meter. Pendaki boleh singgah ke Hutan Lipur Lata Belatan, Batu Mat Hasan, Jendela Pandang dan lain-lain. Dari puncak, pendaki dapat melihat dua pulau yang terkenal iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Walau bagaimanapun, anda harus mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pejabat Hutan Negeri Terengganu dan melaporkan diri di balai polis terdekat sebelum mendaki.




CHINATOWN, KUALA TERENGGANU


Langkah anda pasti berhenti di setiap lorong di celah-celah deretan bangunan kedai-kedai lama kerana terpegun dengan lukisan mural berwarna-warni. Lorong Warisan Dunia memaparkan mercu tanda dunia yang terkenal manakala ruang udara di Payung Lane pula dihiasi dengan susunan payung beraneka warna dan di dinding Lorong Kenangan pula tergantung plak-plak tokoh masyarakat Cina yang pernah berkhidmat dengan kerajaan.




KAMPUNG RHU 10, SETIU


Terkenal dengan “ICT”, iaitu menu Ikan Celup Tepung. Terletak di kawasan Pantai Rhu 10, ia menyajikan panorama yang cukup indah lagi mendamaikan. Di sepanjang jalan pantai, pengunjung boleh melihat banyak gerai kecil yang menjual ikan celup tepung, satu hidangan yang amat popular bagi penduduk di Setiu. Sebelum digoreng, ikan akan dicelup ke dalam tepung dan di cicah bersama sos. Selain ikan, hasil laut seperti sotong, udang dan ketam malah keropok lekor turut dicelup dengan tepung sebelum digoreng.




TERRAPURI HERITAGE VILLAGE, KUALA TERENGGANU, TERENGGANU


Reka bentuk binaan vila penginapan ini pasti akan memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Diilhamkan daripada seni bina istana Terengganu pada abad ke-17, vila penginapan yang menghadap Setiu Wetlands dan Laut Cina Selatan ini berkonsepkan gaya klasik dan tradisional yang cukup unik. Menariknya, vila yang dibangunkan dengan kayu sepenuhnya di kawasan seluas 4 hektar dibina tanpa mengguna paku. Angin sepoi-sepoi bahasa dari Laut China Selatan bakal buat anda rasa relaks sepanjang berada di sini.




MUZIUM NEGERI, KUALA TERENGGANU


Melihat seni binaannya dari jauh, pasti ramai menyangka bangunan yang tersergam indah ini ialah Istana Terengganu. Namun, bangunan besar yang terletak di Bukit Losong ini ialah kompleks menyimpan artifak dan hasil seni warisan negeri. Di sini tersimpannya batu bersurat yang pertama dijumpai di Terengganu. Muzium ini terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri-galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran diraja, seni Islam, senjata lama dan tekstil.

0 views
The Richworld Travel & Tours Sdn Bhd (1040443-P)(KPK/LN 7567)
Opening hours
Monday - Friday : 0900 hrs - 1800 hrs 
Saturday / Sunday/ Public Holiday - Closed​
Head Quartes

Suite 16.05, 16th Floor, Wisma Zelan, 
No.1, Jalan Tasik Permaisuri 2, 
Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur.

Tel : +603-9174 7003 
Fax: +603-9174 7005 
Phone No: +6011 2004 8989
Visitor's Analytics

Our Terms & Conditions​

      ©2018 By Richworld Travel & Tours Sdn Bhd  Website All Rights Reserved.