Search

BERHATI-HATI DENGAN OBOR-OBOR BERWARNA BIRU

Nampak macam plastik, 7 perkara tentang obor-obor beracun 'Portuguese Man of War' yang boleh bawa maut


Baru-baru ini orang awam diingatkan agar lebih berhati-hati apabila membawa anak ke pantai, terutamanya di perairan Terengganu kerana terdapatnya obor-obor beracun yang sangat merbahaya.


Obor-obor beracun atau dikenali sebagai Portuguese Man of War ini kali pertama ditemui hanyut dan terdampar di perairan Terengganu.


Berbeza dengan obor-obor yang biasa kita nampak, spesies ini kecil, cantik, berwarna kebiruan seakan plastik dan pasti menarik sesiapa sahaja untuk menyentuhnya.


Namun penting untuk kita tahu bahawa walaupun ia comel, obor-obor ini sangat merbahaya dan beracun tau!


Berikut adalah beberapa info tentang kehidupan marin ini.


Datuk Azahari Othman selaku Pengarah Jabatan Perikanan Pahang menambah, agensi pelancongan juga perlu peka dalam isu ini dengan mengawasi sebarang aktiviti di laut termasuk memantau aktiviti selaman dan mandi manda dalam kalangan pelancong.


7 PERKARA TENTANG OBOR-OBOR BERACUN 'PORTUGUESE MAN OF WAR' YANG BOLEH BAWA MAUT


1. INFO UMUM


  • Nama Saintifik: Physalia physalis

  • Jenis Haiwan: Intertebrata

  • Diet: Karnivor

  • Saiz: 12 inci panjang, 5 inci lebar, panjang tentakel sehingga 165 kaki; terapung


Hidupan marin ini digelar dengan nama Portuguese Man of War sempena bentuknya yang menyerupai kapal layar yang terapung.


2. HABITAT ASAL


Menurut Munirah Abd Rahman dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, UMT, Physalia physalis menghuni habitat Lautan Atlantik, Lautan Hindi serta Lautan Pasifik.


Namun sejak kebelakangan ini, kehidupan marin ini turut dijumpai di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman, Sabah dan terkini, spesies ini juga dijumpai di perairan pantai Terengganu seperti di Pantai Pulau Kekabu (Marang), Pantai Pandak Chendering dan Pantai Batu Buruk (Kuala Terengganu), Pantai Bari dan Pantai Rhu Sepuluh (Setiu).


Hal ini berlaku kerana spesis ini hanyut dibawa arus deras dan ombak besar pada musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur.


3. SITUASI TERKINI DI PANTAI KEKABU, MARANG, TERENGGANU.


Menurut laporan akhbar tempatan, pada 13 Februari yang lalu, Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, mereka diberitahu pelancong Australia yang bersantai di pantai itu berhubung kehadiran obor-obor berkenaan dan 11 bangkai terdampar sepanjang pantai manakala 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air.


Bangkai obor-obor itu dibawa ke Pusat Oceanagrafi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk siasatan lanjut.


24 FEBRUARI 2020, Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan, INOS, UMT telah menerima lagi 14 ekor Portuguese man of war (Physalia physalis) dari Pantai Kekabu, Marang, Terengganu.


4. BAHAYA SENGATAN


Spesies obor-obor ini mempunyai ribuan sel penyengat berbisa yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan.


Obor-obor jenis ini tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus. Di bawah struktur terapung tersebut, terdapatnya tentakel panjang serta bahagian polyp yang boleh mencecah 30 hingga 100 kaki panjang.


Tentakel ini mengandungi nematosis berbisa. Ia boleh melumpuhkan dan membunuh haiwan laut seperti ikan, kerang-kerangan dan spesies laut serta mengancam nyawa manusia.


5. TANDA / KESAN SENGATAN


Tanda atau kesan bahaya apabila disengat oleh obor-obor Portuguese Man of War ini termasuklah:


  • Sakit pedih seperti terbakar

  • Rasa sengal-sengal dan kebas-kebas kawasan sengatan

  • Boleh melarat sehingga kebas-kebas dan lemah tubuh

  • Sakit perut

  • Muntah

  • Jantung laju

Untuk makluman, kesan pada individu mungkin berbeza bergantung pada tahap ketahanan badan. Jika terkena pada individu yang ada alergi mungkin reaksinya lagi merbahaya.


6. MASIH TIADA ANTI VENOM SETAKAT INI


Menurut Bernama, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata bahawa buat masa ini masih tiada anti venom untuk serangan Physalia physalis atau obor-obor Portuguese Man of War kecuali ubat penahan sakit sahaja.


Oleh itu, beliau menyeru agar orang awam mengelakkan diri daripada terkena pada badan kerana ia akan menyebabkan kegatalan dan kesan negatif yang lain.


7. CARA-CARA MENGELAKKAN SENGATAN OBOR-OBOR


Menurut Pusat Racun Negara, sengatan obor-obor sering kali berlaku dalam kedaan berikut:


  1. Sengatan yang paling kerap adalah semasa obor-obor terapung di permukaan air ketika magsa memasuki atau berenang di dalam air.

  2. Serpihan sesungut yang terpisah dari badan obor-obor akibat dari laut bergelora seperti semasa ribut. Sesungut ini walaupun telah terpisah dari badan berupaya mengeluarkan bisa apabila serpihan sesungut bersentuhan dengan manusia.

  3. Serpihan sesungut yang terdampat di persiaran pantai juga berupaya membebaskan bisa apabila dipijak.

  4. Sengatan obor-obor lebih kerap terjadi apabila bilangannya di dalam laut bertambah. Misalnya bilangan obor-obor bertambah semasa musim mengawan yang berlaku pada bulan Mei hingga Jun.


Oleh itu berhati-hatilah jika terpaksa ke laut semasa keadaan di atas.


LANGKAH KECEMASAN


Bawalah magsa berjumpa doktor segera jika disengat obor-obor.


Namun jika terpaksa melakukan bantuan kecemasan, berikut adalah langkah yang disyorkan oleh Pusat Racun Negara jika disengat obor-obor:-


  • Basuh kawasan sengatan dengan air laut.

  • Jika sesungut obor-obor terdapat di atas kulit, gunakan perkakas bersesuaian seperti garpu atau memakai sarung tangan untuk membuang sesungut tersebut.

  • Kawasan sengatan kemudiannya direndam dalam larutan cuka (50 peratus) selama 30 minit.

  • Selepas itu, tuangkan bancuhan tepung atau serbuk penaik (baking poweder) ke atas tempat sengatan dan gunakan pisau untuk mengikis keluar nematosit yang tertanam dalam kulit kita.

  • Ulangi basuhan cuka ke atas tempat tersebut dan sapukan krim yang mengandungi antihistamin, analgesik dan steroid (seperti betnovat) pada kawasan sengatan. Jika perlu, gunakan air untuk menghilangkan rasa sakit.

  • Bawa mangsa berjumpa doktor dengan segera.


Diharapkan semua dapat memberikan kerjasama agar berhati-hati sekiranya terjumpa dengan obor-obor ini.

14 views
The Richworld Travel & Tours Sdn Bhd (1040443-P)(KPK/LN 7567)
Opening hours
Monday - Friday : 0900 hrs - 1800 hrs 
Saturday / Sunday/ Public Holiday - Closed​
Head Quartes

Suite 16.05, 16th Floor, Wisma Zelan, 
No.1, Jalan Tasik Permaisuri 2, 
Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur.

Tel : +603-9174 7003 
Fax: +603-9174 7005 
Phone No: +6011 2004 8989
Visitor's Analytics

Our Terms & Conditions​

      ©2018 By Richworld Travel & Tours Sdn Bhd  Website All Rights Reserved.