Search

Penggunaan sarung tangan boleh tingkatkan risko jangkitan COVID-19


Situasi wabak COVID-19 yang melanda menyebabkan ramai orang awam lebih berjaga-jaga dan mahu melindungi diri semaksima mungkin daripada terdedah kepada jangkitan. Namun tahukah anda, walaupun penggunaan sarung tangan mampu melindungi tangan kita daripada virus, namun pakar juga berpendapat bahawa ia berpotensi menjadi punca merebakkan virus dengan lebih luas. Berikut adalah sebab mengapa ia bukanlah antara nasihat atau tips utama untuk elak jangkitan yang disyorkan pihak berwajib.


Antara sebab penggunaan sarung tangan boleh tingkatkan jangkitan COVID-19 ialah:


1. TAK DIPAKAI DENGAN BETUL


Kebanyakan orang menganggap selagi memakai sarung tangan, mereka akan terlindung daripada sebarang kuman. Namun sebenarnya, ada banyak ruang untuk kuman hinggap di tangan atau badan kita selagi kita tidak mengamalkan cara memakai dan membukanya dengan cara yang betul. Dalam sebuah kenyataan, WHO menjelaskan bahawa kita masih boleh terdedah dengan COVID-19 sekiranya kita memakai sarung tangan dan memegang bahagian muka secara tidak sedar (MESTI ramai yang buat sebab nak betulkan topeng muka).


2. TAK DILUPUSKAN DENGAN BETUL


Menurut Pegawai Farmasi, Mohd Dziehan Mustapha, menanggalkan sarung tangan itu ada tekniknya tersendiri bagi meminimakan kontak tangan pada permukaan sarung tangan tersebut. Setelah dipakai, ia perlu dibuang dalam tong sampah khas dan tak boleh diguna semula. Kalau di hospital, ia akan dibuang dalam ‘tong sampah sisa klinikal’ di mana hasil buangan akan dibakar dalam suhu tinggi.


3. DIBUANG MERATA-RATA


Satu lagi masalah penggunaan sarung tangan oleh orang awam adalah risiko ianya dibuang merata-rata. Menurut jururawat Bel Nawhen, penyalahgunaan dan pembuangan sarung tangan yang tidak dilupuskan dengan betul boleh menyebabkan Cross Contamination (jangkitan silang). Tambah bahaya, Covid-19 ni boleh bertahan selama 8 jam pada sarung tangan. Bayangkan kalau tak tukar tu, macam mana agaknya virus tu dah merata pergi, singgah sana sini dan dibuang pula merata-rata. Jadi walaupun anda selamat, orang lain pula yang berisiko terkena jangkitan!


4. IA MENYEBABKAN KITA KURANG KERAP MENCUCI TANGAN


Bila kita pakai sarung tangan, secara tidak langsung kita akan kurang kerap membasuh tangan sebab ia memberikan ‘ilusi’ sudah selamat sebab mendapat perlindungan sarung tangan. Jika membasuh tangan tidak dijadikan tabiat, bayangkan apa akan berlaku sekiranya anda kehabisan sarung tangan? Sentuh sana, sini dan tak basuh tangan sebab tiada ‘amalan’ itu.


5. KURANG EFEKTIF


Tahukah anda, sarung tangan getah ni ada yang jenis senang koyak. Kalau terkoyak, kita kenalah terus ganti sebab kalau tak ganti maka dah tak berkesan. Malah, penggunaan sarung tangan plastik lebih merisikokan kerana ia sangat nipis dan mudah koyak. Kita yang jarang guna mungkin tak perasan bila ianya terkoyak. Atas sebab itu, mengamalkan nasihat daripada WHO untuk membasuh tangan dengan kerap ternyata lebih efektif dan murah.


TETAP PERLU CUCI TANGAN SELEPAS DIBUKA


Bagi yang terpaksa menggunakan glove contohnya di hospital dan sebagainya, mereka tetap akan basuh tangan juga dengan air dan sabun sekurang-kurangnya 20 saat setelah sarung tangan dibuka. Penggunaan glove oleh anggota kesihatan juga mengikut prosedur yang ketat di mana mereka perlu memakai ‘glove’ ikut konsep satu pesakit ke satu pesakit sahaja bagi mengelakkan jangkitan silang. Apa yang penting, kita perlu faham bahawa jangkitan COVID-19 ini perlu dimusnahkan dengan amalan kebersihan dan sanitasi yang kerap, menggunakan topeng muka terutamanya jika bergelaja, serta menjarakkan diri sekurang-kurangnya 1m dengan orang lain. Kalau tiada air, guna hand sanitizer untuk basmi kuman pada permukaan tangan dan pastikan kandungan alkohol untuk hand sanitizer yang digunakan adalah melebihi 60% ok!



0 views
The Richworld Travel & Tours Sdn Bhd (1040443-P)(KPK/LN 7567)
Opening hours
Monday - Friday : 0900 hrs - 1800 hrs 
Saturday / Sunday/ Public Holiday - Closed​
Head Quartes

Suite 16.05, 16th Floor, Wisma Zelan, 
No.1, Jalan Tasik Permaisuri 2, 
Bandar Tun Razak, 56000 Kuala Lumpur.

Tel : +603-9174 7003 
Fax: +603-9174 7005 
Phone No: +6011 2004 8989
Visitor's Analytics

Our Terms & Conditions​

      ©2018 By Richworld Travel & Tours Sdn Bhd  Website All Rights Reserved.